MAZMUR 119:65-80
MAZMUR 119:65-80 BM
Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu. Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu. Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu. Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia. Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu. Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu. Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia. Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu. Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu. Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu. Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu. Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan.