BILANGAN 14:1-9
BILANGAN 14:1-9 BM
Sepanjang malam orang Israel menangis kerana cemas. Mereka bersungut kepada Musa dan Harun, serta berkata, “Lebih baik kami mati di Mesir atau di padang gurun ini! Mengapakah TUHAN hendak membawa kami ke tanah itu? Kami akan mati dalam peperangan, dan anak isteri kami akan ditawan. Tidakkah lebih baik kami balik ke Mesir?” Oleh itu mereka bercakap kepada satu sama lain, “Marilah kita pilih seorang pemimpin, lalu balik ke Mesir!” Kemudian Musa dan Harun bersujud di hadapan semua orang itu. Yosua anak Nun dan Kaleb anak Yefune, dua orang antara pengintip itu, mengoyakkan pakaian mereka sebagai tanda bersedih. Mereka berkata kepada umat itu, “Tanah yang kami jelajahi itu sangat baik. Jika TUHAN berkenan kepada kita, Dia akan membawa kita ke sana dan memberi kita tanah yang kaya dan subur itu. Janganlah berontak terhadap TUHAN, dan janganlah takut kepada penduduk tanah itu. Kita akan mengalahkan mereka dengan mudah. TUHAN menyertai kita, dan Dia sudah mengalahkan pelindung mereka; oleh itu janganlah takut.”