YouVersion Logo
Search Icon

NEHEMIA 4:7-18

NEHEMIA 4:7-18 BM

Ketika Sanbalat, Tobia, orang Arab, orang Amon, dan orang Asdod mendengar bahawa pekerjaan memperbaiki tembok Yerusalem itu maju dengan pesat, dan bahawa lubang-lubang pada tembok itu sudah ditutup, mereka naik berang. Oleh itu mereka semua bermuslihat hendak menyerang Yerusalem dan menimbulkan kekacauan. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan menyuruh orang mengawal kota itu daripada serangan mereka, pada siang dan malam. Kemudian orang Yehuda mula menyanyikan nyanyian berikut: “Kami lemah kerana memikul beban, sedangkan sampah masih bertimbun-timbun. Kami tidak berdaya membina tembok hari ini.” Musuh kami berfikir bahawa kami tidak akan nampak mereka atau mengetahui hal yang berlaku sehingga saatnya mereka sudah menyerang kami, dan membunuh kami serta menghentikan pekerjaan kami. Tetapi berkali-kali, orang Yahudi yang tinggal berhampiran dengan musuh kami datang memberitahu kami akan rancangan musuh itu terhadap kami. Oleh itu aku melengkapi rakyat dengan pedang, tombak, dan panah. Aku menempatkan mereka menurut puak masing-masing di belakang tembok, iaitu di tempat-tempat yang belum diperbaiki. Apabila aku nampak bahawa rakyat gelisah, aku berkata kepada mereka, para pemimpin dan pegawai mereka, “Jangan takut akan musuh. Ingatlah betapa besar dan hebatnya Tuhan kita, dan berjuanglah untuk saudara-saudara kamu, anak isteri kamu, dan rumah-rumah kamu.” Musuh kami mendengar bahawa muslihat mereka sudah kami ketahui. Oleh itu mereka sedar bahawa Allah sudah menggagalkan rancangan mereka. Kemudian kami semua kembali bekerja memperbaiki tembok itu. Sejak itu setengah daripada anak buahku bekerja, dan setengah lagi berkawal dengan berpakaian baju perang, lengkap dengan tombak, perisai, dan panah. Para pemimpin kami memberikan sokongan penuh kepada mereka yang memperbaiki tembok itu. Bahkan mereka yang mengangkat bahan binaan pun bekerja dengan satu tangan, dan membawa senjata dengan tangan sebelah. Tiap-tiap orang yang bekerja dalam pembinaan membawa sebilah pedang yang terikat pada pinggangnya. Orang yang bertugas meniup trompet sebagai tanda bahaya sentiasa di sampingku.