AYUB 40:1-14
AYUB 40:1-14 BM
Ayub, engkau menentang Allah Yang Maha Kuasa; mahukah engkau mengalah, atau mahukah engkau membantah?” Maka Ayub menjawab TUHAN, “Aku telah bercakap seperti orang bodoh, ya TUHAN. Jawapan apakah yang dapat aku berikan? Tiada lagi yang hendak aku katakan. Aku telah berkata lebih daripada yang sepatutnya.” Kemudian dari ribut, TUHAN berfirman lagi kepada Ayub, “Sekarang bertindaklah sebagai lelaki, dan jawablah soalan-soalan-Ku ini. Adakah engkau cuba membuktikan bahawa Aku tidak adil, dan menyalahkan Aku dengan membenarkan dirimu? Adakah engkau sekuat Aku? Bolehkah suaramu mengguntur sekuat suara-Ku? Jika demikian, bangkitlah dengan hormat dan megah; selubungilah dirimu dengan kebesaran dan kemuliaan. Perhatikanlah orang yang sombong; curahkanlah kemarahanmu dan hinakanlah mereka. Ya, pandanglah orang yang sombong dan tundukkanlah mereka; hancurkanlah orang jahat sekarang juga. Kuburkanlah mereka semua di dalam tanah; kurunglah mereka di dunia orang mati. Lalu engkau akan Kupuji, kerana engkau telah menang dengan usahamu sendiri.