KISAH RASUL-RASUL 1:1-8
KISAH RASUL-RASUL 1:1-8 BM
Saudara Teofilus yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh Allah memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. Selama empat puluh hari setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah. Apabila mereka berkumpul, Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, “Janganlah tinggalkan Yerusalem, tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.” Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, “Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?” Yesus menjawab, “Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.”