AMSAL 24
24
- 19 -
1Jangan iri hati terhadap orang jahat, dan jangan bersahabat dengan mereka. 2Mereka hanya memikirkan kekejaman dan memperkatakan keganasan.
- 20 -
3Rumah tangga didirikan di atas asas hikmat dan pengertian. 4Apabila ada pengetahuan, bilik-biliknya dilengkapi barang-barang yang berharga dan indah.
- 21 -
5Hikmat lebih baik daripada kekuatan. Sesungguhnya pengetahuan lebih baik daripada kekuatan, 6kerana kamu harus membuat rancangan dengan baik-baik sebelum kamu berperang. Semakin banyak nasihat yang kamu terima, semakin besar pula harapan kamu untuk menang.
- 22 -
7Orang bodoh tidak dapat memahami kata-kata hikmat. Mereka tidak dapat berkata apa-apa ketika hal-hal penting dibincangkan.
- 23 -
8Jika kamu sentiasa merancangkan kejahatan, kamu akan dikenal sebagai pengacau. 9Cadangan yang difikirkan orang bodoh adalah dosa semata-mata. Orang yang selalu mencela orang lain dibenci oleh orang.
- 24 -
10Orang yang putus asa pada saat genting, sesungguhnya orang lemah.
- 25 -
11Jangan ragu-ragu menyelamatkan orang yang sedang dihukum mati dengan tidak adil. 12Barangkali kamu berkata bahawa hal itu bukan urusan kamu, tetapi Allah tahu dan Dia mengadili kamu menurut maksud hati kamu. Dia mengawasi kamu. Dia tahu dan Dia akan membalas kamu menurut perbuatan kamu.
- 26 -
13Hai anakku, makanlah madu kerana madu itu baik. Sebagaimana madu daripada sarang lebah itu manis dimakan, 14begitu juga hikmat baik bagi jiwamu. Jika kamu memperoleh hikmat, masa hadapanmu terjamin dan harapanmu tidak hilang.
- 27 -
15Jangan seperti orang jahat yang bersepakat merompak orang jujur dan merampas rumah mereka. 16Walaupun orang jujur jatuh berkali-kali, mereka akan bangun semula. Tetapi orang jahat akan dihancurkan oleh malapetaka.
- 28 -
17Jangan bersukacita apabila musuhmu kena celaka, dan jangan tertawa apabila dia jatuh. 18TUHAN pasti tahu jika kamu tertawa dan Dia tidak suka akan perbuatan itu, lalu tidak lagi menghukum musuhmu itu.
- 29 -
19Jangan jengkel kerana orang jahat; jangan iri hati terhadap mereka. 20Orang jahat tidak mempunyai masa depan dan tidak mempunyai harapan.
- 30 -
21Hai anakku, hormatlah dan takutlah kepada TUHAN dan raja. Jangan adakan hubungan dengan orang yang menentang mereka; 22orang seperti itu boleh dibinasakan dalam seketika. Ingatlah akan bencana yang dapat ditimpakan oleh Allah ataupun raja!
Beberapa Pepatah Lagi
23Orang bijak juga berkata begini:
Seorang hakim tidak boleh bertindak dengan berat sebelah. 24Jika orang yang bersalah dinyatakannya tidak bersalah, hakim itu akan dikutuk dan dibenci setiap orang. 25Tetapi hakim yang menjatuhkan hukuman kepada orang yang bersalah, akan berjaya dan menjadi terkenal.
26Jawapan yang jujur membuktikan persahabatan yang sejati.
27Jangan bina rumah sebelum ladang kamu siap. Jangan dirikan rumah tangga sebelum kamu sanggup mencari nafkah.
28Jangan jadi saksi terhadap seseorang tanpa alasan yang patut, atau berdusta tentang dia. 29Jangan berkata, “Aku akan membalas perbuatannya terhadapku! Aku akan membalas dendamku!”
30Aku lalu di ladang dan kebun anggur seorang yang malas dan bodoh. 31Tempat itu penuh dengan belukar dan lalang. Tembok di sekelilingnya sudah roboh. 32Setelah aku memperhatikan dan merenungkan hal itu, aku mendapat pelajaran ini: 33Rehatlah dan tidurlah sebentar, dan jangan buat apa-apa; 34 maka kemiskinan akan datang menyerang kamu seperti perompak yang bersenjata.
Currently Selected:
AMSAL 24: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.