YOHANES 18
18
Yesus Ditangkap
(Mat 26.47-56; Mrk 14.43-50; Luk 22.47-53)
1Setelah Yesus berdoa demikian, Dia pergi dengan pengikut-pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di situ Yesus dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke sebuah taman. 2Yudas, pengkhianat itu, mengetahui tempat itu, kerana telah banyak kali Yesus berkumpul dengan pengikut-pengikut-Nya di situ. 3Oleh itu Yudas pergi ke tempat itu sambil membawa sepasukan askar Roma dan beberapa orang pengawal Rumah Tuhan yang disuruh oleh ketua-ketua imam dan orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh. 4Yesus mengetahui semua yang akan berlaku terhadap diri-Nya. Oleh itu Dia menghampiri mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?”
5Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.”
Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.”
Yudas, pengkhianat itu, berdiri dengan mereka di situ. 6Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. 7Sekali lagi Yesus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?”
Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.”
8Yesus berkata, “Bukankah sudah Aku katakan bahawa Akulah Dia? Jika Aku yang kamu cari, biarkan pengikut-pengikut-Ku ini pergi.” ( 9Dia berkata demikian, supaya berlakulah apa yang dikatakan-Nya dahulu, “Ya Bapa, tidak seorang pun yang Engkau serahkan kepada-Ku akan sesat.”)
10Simon Petrus yang mempunyai sebilah pedang, menghunusnya lalu mengerat telinga kanan hamba Imam Agung. Nama hamba itu Malkhus. 11 Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkanlah pedangmu kembali! Aku harus minum cawan penderitaan yang diberikan oleh Bapa kepada-Ku.”
Yesus Dibawa Menghadap Hanas
12Kemudian askar-askar Roma dengan komandan mereka dan pengawal-pengawal Yahudi menangkap dan mengikat Yesus. 13Mula-mula mereka membawa Yesus menghadap Hanas, bapa mentua Kayafas. Kayafas bertugas sebagai Imam Agung pada tahun itu. 14 Dialah yang menasihati para penguasa Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati untuk seluruh umat.
Petrus Menyangkal Yesus
(Mat 26.69-70; Mrk 14.66-68; Luk 22.55-57)
15Simon Petrus dan seorang pengikut lain mengikuti Yesus. Pengikut lain ini dikenal oleh Imam Agung. Oleh itu pengikut itu masuk bersama-sama Yesus ke halaman rumah Imam Agung, 16sedangkan Petrus menunggu di luar, di hadapan pintu. Kemudian pengikut lain itu, keluar lagi. Dia bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk ke dalam. 17Hamba perempuan yang menjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?”
Petrus menjawab, “Bukan.”
18Pada waktu itu udara sejuk. Para hamba dan pengawal di situ sudah menyalakan api arang dan sedang berdiang. Petrus menghampiri mereka dan berdiri berdiang dengan mereka.
Imam Agung Menyoal Yesus
(Mat 26.59-66; Mrk 14.55-64; Luk 22.66-71)
19Imam Agung itu menyoal Yesus tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya. 20Yesus menjawab, “Aku sentiasa berkata-kata dengan terus terang di hadapan umum. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan di Rumah Tuhan, tempat semua orang Yahudi berkumpul. Tidak pernah Aku berkata apa-apa dengan sembunyi-sembunyi. 21Mengapakah kamu menyoal Aku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar Aku mengajar. Mereka mengetahui apa yang Aku katakan.”
22Ketika Yesus berkata demikian, salah seorang pengawal di situ menampar Dia sambil berkata, “Berani sungguh kamu berkata demikian kepada Imam Agung!”
23Yesus berkata kepadanya, “Jika Aku sudah berkata apa-apa yang salah, katakanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi jika kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar Aku?”
24Kemudian Hanas menyuruh orang membawa Yesus, yang masih terikat itu, kepada Imam Agung Kayafas.
Petrus Menyangkal Yesus Lagi
(Mat 26.71-75; Mrk 14.69-72; Luk 22.58-62)
25Simon Petrus masih juga berdiri berdiang di situ. Semua orang lain di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!”
26Seorang daripada hamba-hamba Imam Agung ada di situ. Dia saudara kepada orang yang telinganya dikerat oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang aku lihat di taman itu bersama-sama dia?”
27Petrus berkata lagi, “Bukan.” Tepat pada waktu itu ayam berkokok.
Yesus Dibawa Menghadap Pilatus
(Mat 27.1-2,11-14; Mrk 15.1-5; Luk 23.1-5)
28Pagi-pagi sekali, mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Para penguasa Yahudi tidak masuk ke dalam istana, supaya mereka tidak menjadi najis dari segi agama, kerana mereka mahu makan Perjamuan Paska. 29Oleh itu Pilatus keluar untuk menjumpai mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhan kamu terhadap orang ini?”
30Mereka menjawab, “Kami tidak akan membawa dia menghadap tuan jika dia tidak bersalah.”
31Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah dia dan adililah dia menurut hukum kamu sendiri.”
Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak dibenarkan menghukum mati sesiapa pun.” ( 32 Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Yesus tentang cara Dia akan mati.)
33Pilatus masuk kembali ke istana lalu memanggil Yesus. Dia bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?”
34Yesus menjawab, “Adakah pertanyaan ini daripadamu atau orang lain sudah memberitahu kamu tentang diri-Ku?”
35Pilatus menjawab, “Adakah aku ini orang Yahudi? Bangsamu sendiri dan ketua-ketua imam sudah menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang sudah kamu lakukan?”
36Yesus berkata, “Pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini. Jika pemerintahan-Ku dari dunia ini, semua orang-Ku akan melawan supaya Aku tidak diserahkan kepada para penguasa Yahudi. Tidak, pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini!”
37Oleh itu Pilatus bertanya kepada-Nya, “Jika demikian, adakah kamu ini raja?”
Yesus menjawab, “Kamu yang berkata bahawa Aku raja. Aku dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; Aku datang untuk berkata tentang apa yang benar. Sesiapa yang menerima apa yang benar, mendengarkan Aku.”
38Pilatus bertanya kepada-Nya, “Apakah yang benar itu?”
Yesus Dihukum Mati
(Mat 27.15-31; Mrk 15.6-20; Luk 23.13-25)
Kemudian Pilatus keluar lagi dari istana dan berkata kepada semua orang Yahudi di situ, “Aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia. 39Tetapi menurut kebiasaan kamu, aku selalu membebaskan seorang tahanan pada Perayaan Paska. Adakah kamu mahu aku melepaskan raja orang Yahudi ini?”
40Mereka menjawab sambil berseru, “Tidak! Bukan dia! Bebaskan Barabas!” (Barabas seorang perompak.)
Currently Selected:
YOHANES 18: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.