2 KORINTUS 5:12-21
2 KORINTUS 5:12-21 BM
Kami tidak mahu membanggakan diri di hadapan kamu. Sebaliknya kami hanya mahu memberikan alasan yang baik, supaya kamu boleh bangga dengan kami. Dengan demikian kamu dapat menjawab orang yang mementingkan rupa orang dan bukan sifat mereka. Jika kami nampaknya gila, hal itu untuk kepentingan Allah. Jika kami nampaknya waras, hal itu untuk kepentingan kamu. Kami dikuasai oleh kasih Kristus; kami sedar bahawa satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua orang. Hal ini bererti bahawa semua orang juga sudah mati secara rohani. Kristus mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, melainkan untuk Dia yang sudah mati dan dibangkitkan untuk kebaikan mereka. Oleh itu, kami tidak lagi menilai seseorang menurut penilaian manusia. Dahulu kami memang pernah menilai Kristus menurut penilaian manusia, tetapi sekarang tidak lagi. Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula. Semua itu dilakukan oleh Allah. Melalui Kristus, Allah sudah mengubah kita daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Dia juga menugaskan kita supaya menjadikan orang lain sahabat-Nya juga. Inilah yang kami isytiharkan: Melalui Kristus, Allah menjadikan semua orang sahabat-Nya. Dengan rela hati Allah mengampunkan dosa mereka. Dia sudah menugaskan kami untuk memberitakan hal itu. Demikianlah kami berkata-kata bagi pihak Kristus, seolah-olah Allah sendiri memohon kepada kamu melalui kami. Kami menggesa kamu bagi pihak Kristus, supaya kamu membolehkan Allah mengubah kamu daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus.