2 TAWARIKH 6:12-21
2 TAWARIKH 6:12-21 BM
Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa. ( Raja Salomo telah membina sebuah pentas daripada gangsa dan meletakkannya di tengah-tengah halaman itu. Ukurannya 2.2 meter persegi, dan tingginya 1.3 meter. Di hadapan semua orang yang hadir, baginda naik ke atas pentas itu lalu berlutut. Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya ke langit.) Baginda berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. Engkau telah menepati janji-Mu kepada bapaku Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji yang satu lagi kepada bapaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya, akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada Taurat-Mu seperti Raja Daud. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada bapaku Raja Daud, hamba-Mu itu. Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi ini, di kalangan manusia? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah aku bina! Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku. Lindungilah Rumah ini siang dan malam. Engkau telah berjanji bahawa inilah tempat orang beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap Rumah ini dan berdoa kepada-Mu. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu Israel apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami.