YouVersion Logo
Search Icon

2 TAWARIKH 5

5
1 Selepas Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN, baginda menyimpan semua perak, emas, dan barangan lain yang ditahbiskan untuk TUHAN oleh ayahandanya, Raja Daud, di dalam stor-stor Rumah TUHAN.
Tabut Perjanjian Dibawa ke Rumah TUHAN
(1 Raj 8.1-9)
2 Kemudian Raja Salomo menyuruh semua pemimpin suku dan puak Israel berkumpul di Yerusalem, untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN dari Sion, Kota Daud, ke Rumah TUHAN. 3Mereka semua berkumpul pada Perayaan Pondok Daun. 4Setelah semua pemimpin itu berkumpul, orang Lewi mengangkat Tabut Perjanjian 5dan membawanya ke dalam Rumah TUHAN. Para imam dan orang Lewi memindahkan Khemah TUHAN dan semua perkakasnya ke dalam Rumah TUHAN. 6Raja Salomo dan segenap umat Israel berkumpul di hadapan Tabut Perjanjian, lalu mempersembahkan korban berupa domba dan lembu yang banyak sekali, sehingga tidak terkira bilangannya. 7Selepas itu para imam membawa Tabut Perjanjian ke Rumah TUHAN, lalu meletakkannya di Bilik Maha Suci, di bawah patung kerub. 8Sayap kerub-kerub itu terkembang dan menutupi Tabut itu serta kayu-kayu pengusungnya. 9Kayu pengusung itu panjang sekali, sehingga hujungnya dapat dilihat dari hadapan Bilik Maha Suci, tetapi tidak dapat dilihat dari arah lain. (Kayu-kayu pengusung itu masih di sana sehingga sekarang.) 10 Tabut Perjanjian hanya mengandungi dua buah batu yang diletakkan di sana oleh Musa di Gunung Sinai dahulu, ketika TUHAN membuat perjanjian-Nya dengan umat Israel, selepas mereka keluar dari Mesir.
Kemuliaan Tuhan
11-14 Semua imam daripada setiap kumpulan yang hadir di sana telah menyucikan diri. Semua penyanyi orang Lewi, iaitu Asaf, Heman, dan Yedutun, serta anggota-anggota puak mereka, memakai pakaian linen. Orang Lewi berdiri di sebelah timur mazbah dengan simbal dan kecapi. Bersama dengan mereka ada 120 orang imam yang meniup trompet. Nyanyian para penyanyi berpadu dengan iringan trompet, simbal, dan alat muzik lain. Inilah seni kata lagu yang dinyanyikan mereka untuk memuji TUHAN:
“Pujilah TUHAN, kerana Dia baik,
kasih-Nya kekal abadi.”
Apabila para imam keluar dari Rumah TUHAN, tiba-tiba Rumah TUHAN dipenuhi awan yang bersinar dengan cahaya hadirat TUHAN, sehingga mereka tidak dapat meneruskan upacara ibadat.

Currently Selected:

2 TAWARIKH 5: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in