YouVersion Logo
Search Icon

1 TIMOTIUS 1:1-11

1 TIMOTIUS 1:1-11 BM

Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus dengan perintah Allah, Penyelamat kita dan Kristus Yesus, harapan kita. Aku menulis surat ini kepada Timotius, yang dalam iman kita kepada Kristus, bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat dan kesejahteraan. Aku ingin engkau tinggal di Efesus sebagaimana aku tekankan pada waktu aku pergi ke Makedonia. Beberapa orang di Efesus sedang menyebarkan ajaran sesat, dan engkau mesti menyuruh mereka berhenti mengajarkannya. Suruhlah mereka berhenti mengajarkan dongeng dan senarai nenek moyang yang sangat panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak berguna bagi rancangan Allah yang dapat diketahui melalui kepercayaan kepada-Nya. Perintah ini bertujuan menjadikan kita saling mengasihi dengan kasih yang berasal daripada hati yang murni, hati nurani yang suci, dan kepercayaan yang sungguh-sungguh kepada Tuhan. Beberapa orang sudah menyimpang daripada hal-hal itu, lalu tersesat dalam perbincangan yang sia-sia. Mereka ingin menjadi guru Taurat, tetapi mereka tidak memahami kata-kata mereka sendiri ataupun hal-hal yang dikemukakan mereka dengan penuh keyakinan. Kita tahu bahawa Taurat baik, jika digunakan dengan betul. Perlu diingat bahawa hukum diadakan bukan untuk orang baik, tetapi untuk orang jahat dan pelanggar hukum, orang yang tidak mengenal Allah dan orang berdosa, orang yang tidak salih dan yang duniawi, orang yang membunuh ayah atau ibu, pembunuh, orang yang cabul dan yang memburit, pedagang abdi, pembohong, saksi palsu, dan sesiapa sahaja yang membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran yang benar. Ajaran itu terdapat di dalam Berita Baik yang dipercayakan kepadaku untuk diisytiharkan. Berita Baik yang mulia itu diberikan oleh Allah yang patut dipuji.