1 SAMUEL 25:14-33
1 SAMUEL 25:14-33 BM
Sementara itu salah seorang pekerja Nabal berkata kepada Abigail, isteri Nabal, “Sudahkah puan mendengar tentang hal yang terjadi? Daud menyuruh beberapa orang utusan dari padang gurun untuk menyampaikan salam kepada tuan kita. Tetapi tuan kita menghina mereka, padahal mereka sangat baik terhadap kami dan tidak pernah mengganggu kami. Pada waktu kami bersama-sama mereka di padang gurun, tiada suatu apa pun milik kami yang dicuri. Mereka melindungi kami siang dan malam selama kami menggembalakan domba dekat mereka. Oleh itu fikirlah baik-baik apa yang harus dilakukan! Perkara ini mungkin mendatangkan bencana kepada tuan kita dan seluruh keluarganya. Tuan kita sangat keras kepala sehingga tidak mahu mendengar nasihat sesiapa pun!” Dengan segera Abigail mengambil 200 ketul roti, dua buah kirbat kulit yang penuh dengan wain, lima ekor domba panggang, 17 kilogram biji-bijian yang dipanggang, 100 rangkai kismis dan 200 ketul kuih ara. Dia memuat semua itu di atas beberapa ekor keldai. Kemudian dia berkata kepada hamba-hambanya, “Kamu berangkatlah dahulu. Aku akan menyusul.” Tetapi dia tidak memberitahukan hal itu kepada suaminya. Kemudian Abigail menunggang keldainya. Apabila dia sampai pada selekoh di pinggir gunung, dia berpapasan dengan Daud dan anak buahnya yang sedang turun menuju ke arahnya. Pada masa itu Daud sedang berfikir, “Sia-sialah aku melindungi milik orang itu di padang gurun! Tiada satu pun miliknya dicuri orang, dan sekarang dia membalas kebaikanku dengan kejahatan! Biarlah Allah membunuh aku jika aku tidak membunuh tiap-tiap orang lelaki di sana sebelum matahari terbit!” Apabila Abigail nampak Daud, dia segera turun dari keldainya lalu bersujud di kaki Daud. Abigail berkata, “Tolonglah tuan, sudilah mendengar kata-kata saya. Biarlah kesalahan itu saya tanggung sendiri! Janganlah pedulikan Nabal, orang yang tidak berguna itu. Bukankah namanya sendiri bermakna bodoh? Saya tidak ada di situ ketika utusan-utusan tuan tiba. TUHAN sudah mencegah tuan membalas dendam dan membunuh musuh tuan. Sekarang saya bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa musuh tuan dan semua orang yang hendak berbuat jahat terhadap tuan akan dihukum seperti Nabal. Terimalah pemberian yang saya bawa ini untuk tuan dan anak buah tuan. Ampunkanlah kesalahan saya. Tentu TUHAN akan menjadikan tuan serta keturunan tuan raja Israel, kerana tuan berperang bagi TUHAN; tuan tidak akan melakukan apa-apa kejahatan seumur hidup. Seandainya ada seseorang yang menyerang tuan dan cuba membunuh tuan, maka tentu TUHAN Allah akan melindungi tuan seperti seorang menjaga hartanya yang sangat berharga. Tetapi musuh tuan akan dilemparkan jauh-jauh oleh TUHAN, seperti batu yang dilontarkan dengan ali-ali. TUHAN akan melakukan segala kebaikan yang dijanjikan-Nya kepada tuan, dan tidak lama lagi tuan akan dijadikan-Nya raja Israel. Pada waktu itu tuan akan ingat bahawa tuan tidak membunuh tanpa alasan atau membalas dendam. Oleh itu tuan tidak perlu berasa sedih atau menyesal. Apabila TUHAN memberkati tuan kelak, janganlah lupa akan hamba tuan ini.” Kemudian Daud berkata kepadanya, “Pujilah TUHAN, Allah umat Israel, yang sudah mengutus kamu kepadaku pada hari ini! Aku bersyukur kerana kebijaksanaanmu. Tindakanmu pada hari ini telah mencegah aku melakukan pembunuhan untuk membalas dendam.