YouVersion Logo
Search Icon

Rut 1:6-17

Rut 1:6-17 AVB

Lalu bersiap-siaplah Naomi bersama-sama kedua-dua orang menantunya untuk pulang dari bumi Moab kerana di bumi Moab itu dia terdengar khabar bahawa TUHAN telah memperhatikan umat-Nya serta memberikan makanan kepada mereka. Maka bertolaklah dia dari tempat penghuniannya dan bersama-sama dua orang menantunya dia menempuh perjalanan untuk pulang ke Tanah Yehuda. Berkatalah Naomi kepada dua orang menantunya, “Pulanglah kamu ke rumah ibu masing-masing. Semoga TUHAN mengasihani kamu sebagaimana kamu mengasihani dua orang arwah itu dan juga aku. Semoga TUHAN mengurniaimu tempat bernaung kelak di rumah suami masing-masing.” Lalu diciumnya kedua-dua orang menantunya namun mereka mengangkat suara dan menangis. Kedua-dua mereka merayu kepadanya, “Tidak, kami mahu bersama-sama ibu pulang kepada suku kaum ibu.” Naomi menjawab, “Baik kamu pulang sahaja, wahai anak-anakku. Mengapa kamu mahu mengikut aku? Adakah lagi anak lelaki di dalam rahimku yang boleh menjadi suamimu? Pergilah! Pulanglah kamu, wahai anakku. Aku kini terlalu tua untuk bersuami. Sekalipun ada harapan aku bersuami dan kemudian katakan pada malam ini juga aku bersuami dan seterusnya melahirkan lagi anak lelaki; mampukah kamu menanti sehingga anak-anakku dewasa? Adakah kamu akan menolak untuk bersuami lagi dalam tempoh itu? Janganlah begini wahai anakku. Pengalamanku lebih perit, namun inilah kehendak TUHAN dalam kehidupanku.” Semakin nyaring tangisan mereka berdua, lalu Orpa mencium mertuanya, memohon diri dan berangkat tetapi Rut memaut mertuanya dengan kuat. Berkatalah Naomi, “Birasmu telah pun pulang kepada kaumnya dan kepada tuhan-tuhannya, eloklah kamu juga pulang mengikut birasmu itu.” Maka jawab Rut, “Janganlah mendesak aku meninggalkan atau berpaling daripada mengikut ibu kerana ke mana-mana pun ibu tujui aku akan ikut dan di mana-mana sahaja ibu menumpang di situ jugalah aku menumpang. Kaum ibu itulah kaumku dan Allahmu ialah Allahku; dan di mana-mana sahaja ibu mati, di situ jugalah aku mati dan dikuburkan. Semoga beginilah kiranya yang dilakukan TUHAN kepadaku, malahan lebih lagi, jika apa-apa pun selain maut memisahkan aku dan ibu.”