Mazmur 39:4-13
Mazmur 39:4-13 AVB
“Ya TUHAN, tunjukkanlah aku bila ajalku dan berapa lama aku akan hidup; supaya aku tahu betapa fananya aku. Sememangnya Engkau telah membuat hidupku begitu singkat; dan usiaku bagaikan tiada bagi-Mu. Sebenarnya manusia dalam keadaan terbaik pun hanyalah sehembus nafas. Sela Sesungguhnya, setiap manusia melangkah seperti bayang-bayang: Sesungguhnya, dia sibuk dengan sia-sia; dia menimbun harta, dan tidak tahu siapa mendapatnya nanti. Sekarang, ya Tuhan, apa yang kunantikan? Harapanku tertumpu kepada-Mu. Bebaskanlah aku daripada segala dosaku; jangan biarkan aku diejek oleh orang bodoh. Aku membisu; aku tidak membuka mulutku, kerana Engkau yang melakukannya. Sembuhkanlah penyakit yang Kautimpakan kepadaku; aku binasa di bawah hukuman-Mu. Apabila Engkau memurkai dan menghukum manusia kerana dosa mereka; Engkau membuat kehebatannya lenyap seperti terbangnya rama-rama — sesungguhnya setiap manusia itu hanya sehembus nafas. Sela Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah rayuanku; jangan berdiam diri melihat air mataku. Kerana aku orang asing bagi-Mu, menumpang untuk sementara, seperti nenek moyangku. Alihkan renungan tajam-Mu daripadaku, supaya tenagaku pulih sebelum aku pergi dan tiada lagi.”