Mazmur 119:17-32
Mazmur 119:17-32 AVB
Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu. Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu. Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku. Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu. Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu. Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu. Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan. Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu. Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu. Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan. Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu. Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia. Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku. Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku. Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku.