YouVersion Logo
Search Icon

Filipi 4:1-9

Filipi 4:1-9 AVB

Oleh itu, saudara-saudaraku yang dikasihi dan dirindui, yang menjadi kebahagiaanku dan mahkotaku, berdirilah dengan teguh dalam Tuhan, wahai sekalian yang kusayangi! Aku merayu kepada Euodia dan Sintikhe supaya bersatu hati dalam Tuhan. Dan aku meminta kepadamu juga, teman sejati, bantulah perempuan-perempuan ini yang telah berusaha bersamaku untuk Injil, juga dengan Klemen serta teman sekerjaku yang lain, yang nama-nama mereka ada dalam Kitab Hidup. Bersukacitalah dalam Tuhan sentiasa. Kukatakan lagi: Bersukacitalah! Biar sikapmu yang lemah lembut diketahui oleh semua orang. Tuhan ada berhampiran. Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus. Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi — jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji — tumpukan fikiran kepadanya. Segala yang kamu pelajari, terima, dengar dan lihat dalam diriku — lakukanlah. Maka Allah yang sumber segala damai sejahtera akan bersertamu.

Video for Filipi 4:1-9