Bilangan 22:21-23, 31-35
Bilangan 22:21-23 AVB
Bileam bangun pada paginya dan mengenakan pelana pada keldainya lalu pergi bersama-sama orang besar Moab itu. Akan tetapi, ternyalalah murka Allah kerana dia pergi, maka malaikat TUHAN berdiri di jalan, mengadangnya sebagai lawan. Pada waktu itu Bileam menunggangi keldainya dan kedua-dua pelayannya menyertainya. Ketika keldai itu melihat malaikat TUHAN berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya, menyimpanglah keldai itu dari jalan lalu masuk ke ladang. Bileam memukul keldainya supaya kembali ke jalan.
Bilangan 22:31-35 AVB
Kemudian TUHAN menyingkapkan mata Bileam sehingga dia melihat malaikat TUHAN berdiri di jalan dengan pedang terhunus di tangannya. Maka membongkoklah dia dan sujud memberi hormat. Sabda malaikat TUHAN kepadanya, “Mengapakah kamu memukul keldaimu sampai tiga kali? Ketahuilah, Aku keluar sebagai lawanmu, kerana ketelanjuran kelakuanmu di hadapan-Ku. Keldai ini melihat Aku dan sudah tiga kali menyimpang dari hadapan-Ku. Kalau keldai itu tidak menyimpang dari hadapan-Ku, tentulah kamu sudah Kubunuh, dan keldai itu Kubiarkan hidup.” Kata Bileam kepada malaikat TUHAN, “Hamba telah berdosa kerana hamba tidak tahu bahawa Engkau berdiri di jalan mengadang hamba. Sekarang, jika Engkau tidak berkenan akan hal ini, maka hamba hendak pulang.” Sabda malaikat TUHAN kepada Bileam, “Pergilah bersama dengan orang itu, tetapi hanya katakan apa yang Kusabdakan kepadamu sahaja.” Maka pergilah Bileam bersama-sama orang besar Balak.