YouVersion Logo
Search Icon

Bilangan 14:1-9

Bilangan 14:1-9 AVB

Maka berteriaklah seluruh umat dengan suara yang nyaring, dan pada malam itu umat itu menangis. Seluruh orang Israel, iaitu seluruh umat itu, bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun lalu berkata kepada mereka, “Kalau sahaja kami mati di Tanah Mesir! Kalau sahaja kami mati di gurun ini! Mengapakah TUHAN membawa kami ke negeri ini? Supaya kami tewas oleh pedang, dan isteri serta anak-anak kami menjadi tawanan? Bukankah lebih baik kami pulang ke Mesir?” Kemudian mereka pun berkata antara satu sama lain, “Ayuh kita angkat seorang pemimpin lalu pulang ke Mesir!” Lalu Musa dan Harun menyembamkan muka mereka ke bumi di depan seluruh kalangan umat Israel yang berkumpul di sana. Yosua anak Nun dan Kaleb anak Yefune, yang termasuk antara orang yang mengintip negeri itu, mengoyakkan pakaian mereka sendiri dan berkata kepada seluruh kalangan umat Israel, “Tersangat baiknya negeri yang kami lalui untuk diintai itu. Jika TUHAN berkenan kepada kita, tentu Dia akan membawa kita masuk ke negeri itu serta mengurniai kita sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu. Hanya, janganlah derhaka terhadap TUHAN dan janganlah kamu takut kepada rakyat negeri itu, kerana mereka itu betapa mudah kita gempurkan. Pelindung mereka sudah meninggalkan mereka, sedangkan TUHAN menyertai kita. Jadi, jangan takut kepada mereka.”