YouVersion Logo
Search Icon

Markus 9:30-37

Markus 9:30-37 AVB

Setelah itu, Yesus dan murid-murid-Nya beredar dari situ dan meneruskan perjalanan melalui Galilea. Dia tidak mahu orang tahu Dia di mana kerana Dia sedang mengajar murid-murid-Nya. Dia berkata kepada mereka, “Anak Manusia akan diserahkan ke dalam tangan manusia dan akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari Dia akan bangkit semula.” Mereka tidak faham erti kata-kata itu tetapi takut hendak bertanya kepada Yesus. Mereka tiba di Kapernaum. Setelah tiba di rumah, Yesus bertanya kepada murid-murid-Nya, “Apa yang kamu persoalkan di jalan tadi?” Mereka tidak menjawab, kerana dalam perjalanan mereka telah mempersoalkan siapa yang terbesar. Yesus duduk lalu memanggil murid-Nya yang dua belas itu. Dia berkata kepada mereka, “Kalau sesiapa ingin menjadi yang terdahulu, dia mestilah menjadi yang terakhir dan hamba kepada semua orang.” Selepas itu, Dia memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Dia mendakap kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut seorang kanak-kanak seperti ini kerana nama-Ku, menyambut-Ku. Sesiapa yang menyambut-Ku bukanlah menyambut-Ku tetapi menyambut Dia yang mengutus-Ku.”

Video for Markus 9:30-37