YouVersion Logo
Search Icon

Lukas 18:9-17

Lukas 18:9-17 AVB

Yesus juga menceritakan ibarat ini kepada orang yang menganggap diri mereka sebagai orang yang benar dan menghina orang lain: “Dua orang masuk ke dalam Bait Suci untuk berdoa. Seorang daripadanya orang Farisi dan seorang lagi pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri dan berdoa dalam hatinya: ‘Ya Allah, aku mengucap syukur kepada-Mu kerana aku tidak tamak, menipu atau berzina seperti orang lain. Aku bersyukur kepada-Mu kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan mempersembahkan sepersepuluh daripada semua pendapatanku.’ Akan tetapi, pemungut cukai itu berdiri jauh sedikit, tidak berani menengadah ke langit melainkan menebah dada sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini.’ ” “Aku berkata kepadamu bahawa pemungut cukai ini pulang ke rumahnya dengan diperkenankan Allah tetapi orang Farisi itu tidak. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.” Orang membawa anak mereka kepada Yesus supaya Dia memberkati mereka. Tetapi apabila murid-murid Yesus melihat hal ini, mereka menegur orang itu. Namun Yesus memanggil kanak-kanak itu datang kepada-Nya lalu Dia berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku. Jangan larang mereka kerana orang yang seperti itulah yang empunya kerajaan Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya.”