Imamat 22:1-9
Imamat 22:1-9 AVB
TUHAN berfirman kepada Musa, “Katakanlah kepada Harun dan anak-anaknya agar mereka mengawasi diri terhadap persembahan-persembahan suci yang ditakdiskan orang Israel bagi-Ku, supaya jangan mereka mencemarkan nama-Ku yang suci. Akulah TUHAN. Katakanlah kepada mereka: Sesiapa pun daripada antara semua keturunanmu turun-temurun, yang dalam keadaan najis mendekati persembahan-persembahan suci yang ditakdiskan orang Israel untuk TUHAN, hendaklah dia disingkirkan daripada hadapan-Ku. Akulah TUHAN. Sesiapa pun daripada keturunan Harun yang sakit kusta atau yang mengeluarkan lelehan tidak boleh memakan persembahan-persembahan suci sebelum dia menjadi suci. Jika seseorang menyentuh sesuatu yang najis kerana mayat atau kerana orang yang keluar air maninya, dan jika seseorang menyentuh seekor binatang merayap yang menajiskan dia ataupun manusia yang menajiskan dia, baik apa-apa pun kenajisannya, maka orang itu menjadi najis sampai waktu maghrib. Dia tidak boleh makan daripada persembahan-persembahan suci, kecuali jika dia sudah membasuh tubuhnya dengan air. Setelah matahari terbenam barulah dia menjadi suci, dan sesudah itu dia boleh makan daripada persembahan-persembahan suci, kerana itu memang makanannya. Dia tidak boleh memakan bangkai atau haiwan yang dikoyak-koyak binatang buas, kerana dengan demikian dia menjadi najis. Akulah TUHAN. Para imam wajib memegang teguh kewajipan mereka terhadap-Ku, supaya jangan mereka tanggung dosa sehubungan dengan hal itu lalu mati kerananya, iaitu atas sebab mereka mencemari kewajipan itu. Akulah TUHAN yang menyucikan mereka.