Yosua 3:7-17
Yosua 3:7-17 AVB
Kemudian TUHAN berfirman kepada Yosua, “Pada hari ini Aku hendak mulai membesarkan engkau di mata seluruh orang Israel, supaya mereka tahu bahawa sebagaimana dahulunya Aku menyertai Musa, demikian jugalah Aku akan menyertai engkau. Hendaklah engkau memerintahkan sedemikian kepada para imam pengusung tabut perjanjian itu, ‘Sesudah kamu sampai di pinggir air Sungai Yordan, hendaklah kamu berdiri tanpa bergerak-gerak di Sungai Yordan itu.’ ” Lalu Yosua berkata kepada orang Israel, “Ke marilah, dengarlah firman TUHAN, Allahmu.” Kata Yosua pula, “Daripada hal inilah kamu akan tahu bahawa Allah yang hidup itu hadir di tengah-tengah kamu dan Dia pasti mengusir bani Kanaan, bani Het, bani Hewi, bani Feris, bani Girgasi, bani Amori, dan bani Yebus dari hadapanmu. Lihatlah, tabut perjanjian Tuhan semesta bumi akan menyeberang di depanmu, turun ke Sungai Yordan. Sekarang, pilihlah dua belas orang daripada kalangan suku Israel, seorang daripada setiap suku. Nanti, apabila telapak kaki para imam pengusung tabut TUHAN, Tuhan semesta bumi, berhenti di dalam air Sungai Yordan, air Sungai Yordan akan terputus. Air yang turun dari hulu akan tertahan menjadi satu timbunan.” Maka terjadilah apabila umat itu berangkat dari perkhemahan mereka untuk menyeberangi Sungai Yordan, para imam mengusung tabut perjanjian di depan umat itu. Lalu ketika para pengusung tabut sampai di Sungai Yordan dan kaki para imam pengusung tabut itu tercelup di pinggir air itu — sememangnya Sungai Yordan meluap keseluruhan tebingnya selama musim menuai — maka air yang turun dari hulu tertahan. Air itu tegak menjadi suatu timbunan, begitu jauh dari kota raya Adam, kota di sebelah Sartan. Air yang turun ke Laut Arabah, iaitu Laut Mati, juga terputus sama sekali. Lalu umat itu pun menyeberang, bertentangan dengan kedudukan Kota Yerikho. Para imam pengusung tabut perjanjian TUHAN itu berdiri tegap di atas tanah yang kering, di tengah-tengah Sungai Yordan, sementara seluruh orang Israel menyeberang di atas tanah yang kering, sehingga seluruh umat Israel selesai menyeberangi Sungai Yordan.