Yohanes 6:60-69
Yohanes 6:60-69 AVB
Antara murid yang mendengar kata-kata-Nya itu, ramai yang berkata, “Ajaran ini terlalu susah difahami. Siapakah yang dapat menerimanya?” Yesus tahu tanpa diberitahu akan rungutan murid-murid-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Adakah perkara ini menyebabkan kamu enggan percaya? Bagaimana nanti kalau kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? Hanya Roh Kudus memberi hidup. Tubuh tidak ada faedahnya. Apa yang Kukatakan kepadamu ini datang daripada Roh Kudus dan memberi hidup. Sungguhpun begitu, sebilangan daripadamu tidak percaya.” (Yesus mengetahui dari mulanya siapa yang enggan percaya dan siapa yang akan mengkhianati-Nya.) Yesus berkata lagi, “Maka itulah sebabnya Aku berkata kepadamu, tiada seorang pun dapat datang kepada-Ku kecuali dengan keredaan Allah.” Selepas itu, ramai murid Yesus menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya. Oleh yang demikian, Yesus bertanya kepada murid-Nya yang dua belas itu, “Adakah kamu juga akan meninggalkan-Ku?” Simon Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, kepada siapa lagi akan kami pergi? Engkaulah yang memiliki kata-kata hidup yang kekal. Kami percaya sepenuh hati bahawa Engkaulah Yang Suci daripada Allah.”