YouVersion Logo
Search Icon

Yohanes 17:6-17

Yohanes 17:6-17 AVB

Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu. Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu. Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku. Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka. Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu. Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa kecuali anak kebinasaan itu supaya terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci. Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya. Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan dari dunia ini. Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada si durjana. Sebagaimana Aku bukan dari dunia ini, begitu jugalah mereka. Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran.