Yohanes 16:16-24
Yohanes 16:16-24 AVB
Yesus berkata, “Tidak lama lagi, kamu tidak akan melihat-Ku dan tidak lama kemudian, kamu akan melihat-Ku.” Sebilangan murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, “Apakah maksud kata-Nya, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku’? Dia juga berkata, ‘Aku akan pergi kepada Bapa.’ ” Mereka berkata, “Apakah maksud ‘tidak lama lagi’? Kami tidak faham erti kata-kata-Nya!” Yesus tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.’ Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan. Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia. Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapa pun. Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.”