YouVersion Logo
Search Icon

Yeremia 38:1-10

Yeremia 38:1-10 AVB

Sefaca anak Matan, Gedalya anak Pasyhur, Yukhal anak Selemya, dan Pasyhur anak Malkia mendengar perkataan yang disampaikan Yeremia kepada seluruh rakyat, “Beginilah firman TUHAN: Sesiapa yang tetap tinggal di kota ini akan mati oleh pedang, oleh bencana kebuluran, dan oleh wabak penyakit. Tetapi siapa keluar mendapatkan orang Kasdim akan tetap hidup. Nyawanya akan seperti barang jarahan bagi dirinya sendiri. Dia akan tetap hidup. Beginilah firman TUHAN: Kota ini pasti diserahkan ke dalam tangan pasukan raja Babel yang akan merebutnya.” Lalu para pembesar itu berkata kepada raja, “Orang ini harus dihukum mati. Dengan menyampaikan perkataan-perkataan itu, dia mematahkan semangat saki-baki pejuang di kota ini dan seluruh rakyat. Sungguh, orang ini tidak mengikhtiarkan kesejahteraan bagi bangsa ini melainkan malapetaka.” Kata Raja Zedekia, “Baiklah, dia ada dalam kuasamu, kerana raja tidak dapat berbuat apa-apa menentang kamu.” Maka mereka mengambil Yeremia dan menurunkannya dengan tali ke dalam perigi milik Malkia, anak raja, yang terletak di pelataran penjagaan. Di perigi itu tidak ada air, hanya lumpur, sehingga Yeremia terperosok ke dalam lumpur. Ebed-Melekh, seorang sida-sida bangsa Kush yang tinggal di istana raja, mendengar bahawa Yeremia dimasukkan ke dalam perigi. Pada waktu itu raja sedang duduk di Pintu Gerbang Benyamin. Maka keluarlah Ebed-Melekh dari istana dan berbicara kepada raja, “Ya Tuanku Raja, mereka itu telah berbuat jahat dalam segala hal yang dilakukan mereka terhadap Nabi Yeremia. Mereka memasukkannya ke dalam perigi. Dia akan mati kelaparan di tempat itu kerana tidak ada lagi roti di kota.” Lalu raja memberikan perintah kepada Ebed-Melekh, orang Kush itu, “Bawalah tiga puluh orang dari sini dan angkatlah Nabi Yeremia dari perigi itu sebelum dia mati.”

Video for Yeremia 38:1-10