Yeremia 26
26
Yeremia terancam dibunuh
1 # 2Raj 23:36—24:6; 2Taw 36:5-7. Pada permulaan pemerintahan Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, datanglah firman ini daripada TUHAN, 2“Beginilah firman TUHAN: Berdirilah di pelataran Bait TUHAN dan sampaikanlah kepada penduduk semua kota Yehuda, yang datang untuk beribadat di Bait TUHAN, segala firman yang Kuperintahkan untuk kausampaikan kepada mereka. Jangan kurangi sepatah kata pun. 3Barangkali mereka mahu mendengar dan setiap orang mahu bertaubat daripada perilakunya yang jahat. Dengan demikian Aku akan menarik kembali malapetaka yang Kurancang terhadap mereka kerana perbuatan mereka yang jahat.
4Katakanlah kepada mereka, ‘Beginilah firman TUHAN: Jika kamu tidak mahu mendengar Aku, tidak mahu menuruti hukum-Ku yang telah Kubentangkan di hadapanmu, 5dan tidak mahu mendengar perkataan hamba-hamba-Ku, para nabi, yang terus-menerus Kuutus kepadamu tanpa kamu dengarkan, 6#Yos 18:1; Mzm 78:60; Yer 7:12-14.maka Aku akan menjadikan Bait ini seperti Silo dan kota ini menjadi kutukan bagi segala bangsa di bumi.’ ”
7Para imam, para nabi, dan seluruh rakyat mendengar Yeremia menyampaikan firman itu di Bait TUHAN. 8Setelah Yeremia selesai menyampaikan semua yang diperintahkan TUHAN untuk dikatakan kepada seluruh rakyat itu, maka para imam, para nabi, dan seluruh rakyat menangkapnya sambil berkata, “Engkau harus mati! 9Mengapa engkau bernubuat atas nama TUHAN, mengatakan, ‘Bait ini akan menjadi seperti Silo dan kota ini akan menjadi reruntuhan sehingga tidak berpenduduk’?” Lalu seluruh rakyat mengerumuni Yeremia di Bait TUHAN.
10Ketika para pembesar Yehuda mendengar tentang hal itu, datanglah mereka dari istana raja ke Bait TUHAN lalu duduk di depan Pintu Gerbang Baru di Bait TUHAN. 11Para imam dan para nabi berkata kepada para pembesar dan kepada seluruh rakyat demikian, “Orang ini patut dihukum mati, kerana dia telah bernubuat menentang kota ini seperti yang kamu dengar dengan telingamu sendiri.”
12Tetapi Yeremia berkata kepada para pembesar dan kepada seluruh rakyat, “TUHAN telah mengutus aku untuk menubuatkan segala firman menentang Bait dan kota ini, seperti yang telah kamu dengar. 13Sekarang perbaiklah perilakumu dan perbuatanmu serta patuhilah TUHAN, Allahmu. Dengan demikian TUHAN akan menarik kembali malapetaka yang telah diancamkan-Nya atas kamu. 14Mengenai aku, sesungguhnya, aku ada dalam tanganmu. Lakukanlah apa yang baik dan tepat menurut pandanganmu terhadap aku. 15Hanya, ingatlah baik-baik bahawa jika kamu membunuh aku, maka kamu menanggungkan darah orang yang tidak bersalah atas dirimu sendiri, atas kota ini, dan atas penduduknya, kerana TUHAN benar-benar mengutus aku untuk menyampaikan segala firman ini kepadamu.”
16Lalu para pembesar dan seluruh rakyat berkata kepada para imam dan nabi, “Orang ini tidak patut dihukum mati, kerana dia telah berbicara kepada kita atas nama TUHAN, Allah kita.”
17Beberapa tua-tua negeri segera berkata pula kepada seluruh rakyat yang berkumpul itu demikian, 18#Mi 3:12.“Mikha, orang Moresyet, pernah bernubuat pada zaman Hizkia, raja Yehuda. Kepada seluruh rakyat Yehuda dia berkata, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta:
Sion akan dibajak seperti ladang,
Yerusalem akan menjadi timbunan puing,
dan gunung tempat Bait Suci akan menjadi bukit berhutan.’
19Adakah Hizkia, raja Yehuda, dan semua orang Yehuda membunuh dia? Bukankah Hizkia takut kepada TUHAN dan memohon belas kasihan TUHAN sehingga TUHAN menarik kembali malapetaka yang diancamkan-Nya terhadap mereka? Tetapi kita sendiri akan mendatangkan malapetaka besar terhadap diri sendiri!”
Uria dihukum mati
20Ada juga orang lain yang bernubuat atas nama TUHAN, iaitu Uria anak Semaya dari Kiryat-Yearim. Dia bernubuat menentang kota serta negeri ini sama seperti yang dikatakan Yeremia. 21Ketika Raja Yoyakim berserta semua kesateria dan pembesarnya mendengar perkataannya, raja berusaha membunuh dia. Apabila mendengar hal itu, Uria menjadi takut. Dia pun melarikan diri ke Mesir. 22Lalu Raja Yoyakim mengutus Elnatan anak Akhbor berserta beberapa orang ke Mesir. 23Mereka membawa Uria dari Mesir dan menghadapkannya kepada Raja Yoyakim. Lalu raja membunuh dia dengan pedang dan mencampakkan mayatnya ke perkuburan rakyat jelata.
24Akan tetapi, Ahikam anak Safan melindungi Yeremia sehingga dia tidak diserahkan ke dalam tangan rakyat untuk dibunuh.
Currently Selected:
Yeremia 26: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited