YouVersion Logo
Search Icon

Yeremia 1:1-10

Yeremia 1:1-10 AVB

Inilah kata-kata Yeremia anak Hilkia, salah seorang imam dari Anatot, di Tanah Benyamin. Firman TUHAN datang kepadanya pada zaman Yosia anak Amon, raja Yehuda, pada tahun ketiga belas pemerintahannya, kemudian turun lagi pada zaman Yoyakim anak Yosia, raja Yehuda, sampai akhir tahun kesebelas zaman pemerintahan Zedekia anak Yosia, raja Yehuda, ketika penduduk Yerusalem dibuang negeri pada bulan kelima. Firman TUHAN datang kepadaku demikian, “Sebelum Aku membentuk engkau dalam kandungan, Aku telah mengenal engkau, sebelum engkau keluar dari rahim, Aku telah mentahbiskan engkau. Aku telah melantik engkau sebagai nabi kepada bangsa-bangsa.” Tetapi aku berkata, “Aduh, ya Tuhan ALLAH! Sesungguhnya, aku tidak tahu bertutur, kerana aku ini masih muda lagi.” Firman TUHAN kepadaku, “Jangan katakan, ‘Aku ini masih muda lagi,’ kerana engkau harus pergi ke mana-mana sahaja Aku mengutusmu, dan engkau harus menyampaikan apa-apa sahaja yang Kuperintahkan kepadamu. Jangan takut kepada mereka, kerana Aku menyertai engkau dan akan membebaskan engkau,” demikianlah firman TUHAN. Lalu TUHAN menghulurkan tangan-Nya dan menjamah mulutku. Firman TUHAN kepadaku, “Sesungguhnya, Aku memberitahukan firman-Ku kepadamu. Lihatlah, pada hari ini Aku melantik engkau untuk menerajui bangsa-bangsa dan kerajaan-kerajaan, untuk mencabut dan meruntuhkan, untuk membinasakan dan menggulingkan, untuk membina dan menanam.”