YouVersion Logo
Search Icon

Kejadian 8:1-5, 13-18

Kejadian 8:1-5 AVB

Allah memberikan perhatian kepada Nuh dan segala binatang liar serta segala haiwan ternakan yang ada bersama-samanya dalam bahtera itu. Lalu Allah membuat angin yang bertiup lantas mulalah surut air banjir itu. Tertutuplah segala mata air samudera raya; begitu jua tertutupnya pintu-pintu air di langit lantas teduh dan seterusnya terhentilah hujan yang turun dari langit. Air semakin surut dari muka bumi, dan selepas 150 hari air banjir itu sudah berkurang. Lalu pada hari ketujuh belas pada bulan ketujuh, bahtera itu pun terkandas di Pergunungan Ararat. Air terus berkurang sehingga bulan kesepuluh. Lalu pada hari pertama pada bulan kesepuluh itu puncak-puncak gunung sudah kelihatan.

Kejadian 8:13-18 AVB

Pada tahun 601, pada hari pertama dalam bulan pertama, air surut sepenuhnya dari permukaan bumi. Ketika Nuh membuka atap bahtera itu, kelihatan betapa permukaan tanah sudah kering. Seterusnya pada hari kedua puluh tujuh pada bulan kedua, bumi memang sudah benar-benar kering. Berfirmanlah Allah kepada Nuh, “Keluarlah dari bahtera itu, engkau berserta isterimu, anak-anakmu, dan para menantu perempuanmu. Bawalah keluar kesemua makhluk bernyawa yang ada bersama-samamu, iaitu segala burung, haiwan, dan segala binatang melata yang merayap di bumi. Biarkan kesemua makhluk itu memenuhi bumi, berkembang biak, dan bertambah banyak di bumi.” Maka keluarlah Nuh berserta anak-anaknya, isterinya, dan para menantu perempuannya.