Yehezkiel 34:11-16
Yehezkiel 34:11-16 AVB
Kerana beginilah firman Tuhan ALLAH: Sesungguhnya, Aku sendiri akan memperhatikan domba-Ku dan mencari mereka. Seperti seorang gembala mencari dombanya ketika domba itu tercerai daripada kawanannya, demikianlah Aku akan mencari domba-Ku dan menyelamatkan mereka dari semua tempat mereka tercerai-berai pada hari yang berawan dan kelam pekat. Aku akan membawa mereka daripada kalangan bangsa dan mengumpulkan mereka dari berbagai-bagai negeri lalu membawa mereka ke tanah mereka. Aku akan menggembala mereka di atas gunung-gunung Israel, di alur-alur sungainya, dan di semua tempat yang dihuni orang di negeri itu. Aku akan menggembala mereka di padang rumput yang baik. Padang ragut mereka akan ada di atas gunung-gunung Israel yang tinggi. Di sana, di atas gunung-gunung Israel itu, mereka akan berbaring di padang ragut yang baik dan akan merumput di padang rumput yang subur. Aku sendiri akan menggembala domba-Ku dan Aku akan membaringkan mereka, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Yang hilang akan Kucari, yang terhalau akan Kubawa pulang, yang luka akan Kubalut, dan yang lemah akan Kukuatkan, tetapi yang gemuk dan yang kuat akan Kubinasakan. Aku akan menggembala mereka dengan keadilan.