Yehezkiel 11:14-21
Yehezkiel 11:14-21 AVB
Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, “Wahai anak manusia, penduduk Yerusalem berkata kepada semua saudaramu, iaitu sanak saudaramu, kerabatmu, dan seluruh keturunan kaum Israel, ‘Menjauhlah daripada TUHAN. Negeri ini telah dikurniakan kepada kami sebagai hak milik.’ Oleh sebab itu katakanlah: ‘Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sekalipun Aku menyingkirkan mereka jauh di antara bangsa-bangsa dan sekalipun Aku mencerai-beraikan mereka di berbagai-bagai negeri, Aku menjadi tempat perlindungan yang suci bagi mereka untuk sementara waktu mereka berada di negeri-negeri tersebut.” ’ Oleh sebab itu katakanlah: ‘Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Aku akan menghimpunkan kamu daripada kalangan bangsa dan mengumpulkan kamu dari negeri-negeri tempat kamu dicerai-beraikan. Aku akan mengurniakan Tanah Israel kepadamu.” ’ Mereka akan datang ke sana lalu menyingkirkan segala berhala kejijikan dan segala kekejian dari tanah itu. Aku akan mengurniakan hati yang tidak terbahagi kepada mereka, dan Aku akan memberikan roh yang baru dalam diri mereka. Akan Kusingkirkan hati yang keras daripada tubuh mereka dan Kukurniakan kepada mereka hati yang lembut. Dengan demikian mereka akan hidup menurut ketetapan-ketetapan-Ku dan berpegang teguh pada peraturan-peraturan-Ku serta melakukannya. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka. Tetapi bagi mereka yang hati berpaut pada berhala-berhala yang menjijikkan serta mengikuti kekejian-kekejiannya, Aku akan membalas perilaku mereka ke atas mereka sendiri, demikianlah firman Tuhan ALLAH.”