Keluaran 3:1-10
Keluaran 3:1-10 AVB
Sewaktu itu Musa menggembala kawanan ternakan domba kepunyaan ayah mertuanya, Yitro, imam di Midian dan dia menggiring ternakan itu ke daerah paling hujung di gurun lalu ke gunung Allah, iaitu Horeb. Lalu malaikat TUHAN menampakkan diri kepadanya dalam api bernyala di tengah-tengah sebuah belukar. Maka Musa melihat api menyala-nyala di tengah belukar itu walhal api itu tidak memakan pun belukar itu. Fikir Musa, “Elok juga jika kulihat dari dekat mengapakah belukar itu tidak terbakar?” Apabila TUHAN melihat Musa menghampiri-Nya, Allah pun berseru kepadanya dari tengah-tengah belukar itu, firman-Nya, “Musa, Musa!” Lalu dia menjawab, “Ya, aku ada di sini.” Allah berfirman, “Jangan datang lebih dekat. Tanggalkan kasutmu dari kakimu kerana tempat kamu berdiri itu tanah suci.” Firman-Nya lagi, “Akulah Allah ayahmu, juga Allah Abraham, Allah Ishak, dan Allah Yakub.” Lalu Musa menutup mukanya, kerana dia takut memandang Allah. Berfirmanlah TUHAN, “Aku telah menyaksikan penindasan umat-Ku di Mesir, dan mendengar rintihan mereka kerana dianiayai oleh para tukang kerah mereka. Aku tahu tentang keperitan yang dialami mereka. Maka Aku turun untuk membebaskan mereka daripada cengkaman warga Mesir dan membawa mereka keluar dari negeri itu ke sebuah negeri yang luas dan kaya lagi berlimpah-limpah susu dan madu, iaitu wilayah orang Kanaan, orang Het, orang Amori, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus. Sesungguhnya, Aku telah mendengar rintihan orang Israel, dan telah melihat betapa tertindasnya mereka dalam tangan warga Mesir. Maka sekarang, Aku mengutus kamu kepada Firaun untuk membawa orang Israel, iaitu umat-Ku, keluar dari Mesir.”