Keluaran 16:21-30
Keluaran 16:21-30 AVB
Pagi demi pagi mereka memungutnya, masing-masing sebanyak yang dapat dimakan mereka. Namun begitu setelah ada panas matahari, cairlah makanan itu. Pada hari keenam mereka memungut roti itu dua kali ganda banyaknya, dua cupak untuk setiap orang. Kemudian datanglah semua pemimpin jemaah memberitahu Musa. Kata Musa kepada mereka, “Inilah yang telah difirmankan TUHAN, ‘Esok ialah hari istirahat penuh takzim, Sabat yang suci bagi TUHAN, sebab itu bakarlah apa yang perlu kamu bakar dan rebuslah apa yang perlu kamu rebus. Yang selebihnya hidang dan simpanlah sampai pagi.’ ” Mereka menyimpannya sampai pagi sebagaimana yang diperintahkan Musa, tetapi roti itu tidak berbau busuk dan tidak berulat di dalamnya. Kata Musa, “Makanlah itu pada hari ini, kerana hari ini ialah hari Sabat bagi TUHAN, dan kamu tidak akan mendapatinya di padang. Selama enam hari kamu harus memungutnya, tetapi pada hari ketujuh, iaitu hari Sabat, tidak akan ada makanan itu.” Pada hari ketujuh, beberapa orang daripada bangsa itu keluar untuk memungutnya, tetapi mereka tidak mendapatinya. Lalu berfirmanlah TUHAN dengan perantaraan Musa, “Berapa lama lagikah kamu enggan mentaati perintah-Ku dan hukum-Ku? Ingatlah bahawa TUHAN telah mengurniakan hari Sabat kepadamu. Oleh sebab itu pada hari keenam Dia memberimu roti untuk dua hari. Pada hari ketujuh masing-masing harus tinggal di tempatnya, tiada seorang pun boleh keluar dari tempatnya.” Demikianlah bangsa itu beristirahat pada hari ketujuh.