YouVersion Logo
Search Icon

Keluaran 16:11-19

Keluaran 16:11-19 AVB

Lalu TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku telah mendengar segala rungutan orang Israel. Katakanlah kepada mereka demikian, ‘Pada waktu senja kamu akan makan daging dan pada waktu pagi kamu akan kenyang dengan roti. Maka dengan itu kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allahmu.’ ” Pada petang hari itu datanglah burung-burung puyuh menutupi perkhemahan, dan pada pagi hari terdapat embun di sekeliling perkhemahan. Setelah embun itu mengewap, kelihatanlah benda-benda tipis berkelopak seperti sisik bagaikan embun beku halus di atas tanah permukaan gurun itu. Ketika orang Israel melihatnya, berkatalah mereka sesama diri, “Apakah ini?” kerana mereka tidak tahu apa benda itu. Kata Musa kepada mereka, “Inilah roti yang dikurniakan TUHAN kepadamu sebagai makanan. Beginilah perintah TUHAN, ‘Pungutlah makanan itu, masing-masing sebanyak yang dapat kamu makan. Ambillah satu omer untuk tiap-tiap kepala, selaras dengan jumlah jiwa yang ada di dalam khemah masing-masing.’ ” Demikianlah yang dilakukan orang Israel. Masing-masing memungutnya, ada yang banyak, ada yang sedikit. Ketika mereka mengukurnya dengan omer, ternyata orang yang memungut banyak tidak berlebihan, dan orang yang memungut sedikit tidak kekurangan. Masing-masing memungut sebanyak yang dapat dimakannya. Kata Musa kepada mereka, “Tiada seorang pun boleh meninggalkan sisa sampai pagi.”