Pengkhutbah 8:14-17
Pengkhutbah 8:14-17 AVB
Ada kesia-siaan yang berlaku di bumi: ada orang salih yang menerima balasan yang patut bagi perbuatan orang fasiq, dan ada orang fasiq yang menerima pahala yang patut bagi perbuatan orang salih. Aku berkata: “Ini pun kesia-siaan.” Maka aku mensyukuri segala nikmat kehidupan kerana di bawah matahari, tiada yang lebih baik daripada makan, minum dan bersifat ceria bagi manusia. Itu yang mengiringi segala usahanya berpenat lelah sepanjang usia yang dianugerahkan Allah kepadanya di bawah matahari. Ketika kutetapkan hati untuk memahami hikmah dan melihat manusia berhemah menjalani kehidupan di dunia dengan penuh ketekunan hingga tidak tidur siang malam, nyatalah kepadaku bahawa manusia tidak dapat memahami erti segala perbuatan yang dilakukan Allah di bawah matahari. Betapa kuat ketekunan manusia berpenat lelah pun, dia tidak mampu menyelaminya. Bahkan orang bijaksana yang mendakwa dia mengetahuinya juga tidak dapat menyelaminya.