Daniel 6:19-27
Daniel 6:19-27 AVB
Kemudian raja bangun pada waktu fajar menyingsing dan pergi dengan segera ke gua singa. Setelah sampai dekat gua itu, berserulah dia kepada Daniel dengan suara yang penuh kesayuan. Kata raja kepada Daniel, “Daniel, hamba kepada Allah yang hidup, apakah Allahmu yang selalu kausembah itu sanggup melepaskan engkau daripada singa-singa itu?” Pada waktu itu Daniel berbicara kepada raja, “Semoga Raja hidup selama-lamanya! Allah yang hamba sembah telah mengutus malaikat-Nya untuk mengatupkan mulut singa-singa ini sehingga tidak dapat menghancurkan hamba, kerana hamba didapati tidak bersalah di hadapan-Nya. Di hadapan Tuanku Raja juga hamba tidak melakukan kejahatan.” Maka raja menjadi sangat gembira dan memberikan perintah supaya Daniel ditarik keluar dari gua itu. Lalu Daniel ditarik keluar dari gua, dan sesuatu luka pun tidak didapati padanya, kerana dia beriman kepada Allahnya. Kemudian raja memberikan perintah supaya lelaki-lelaki yang melontarkan tuduhan terhadap Daniel itu dicampakkan ke dalam gua singa berserta anak-anak dan isteri mereka. Sebelum mereka sampai ke dasar gua, singa-singa sudah menerkam dan meremukkan segala tulang mereka. Setelah itu, Raja Darius mengirim surat kepada semua orang daripada segala suku, bangsa, dan bahasa yang tinggal di seluruh bumi, “Semoga kesejahteraanmu berlipat ganda! Aku mengeluarkan titah supaya di seluruh wilayah kekuasaan kerajaanku orang harus gentar dan takut kepada Allah yang disembah Daniel, kerana Dialah Allah yang hidup dan yang tetap selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan binasa dan kekuasaan-Nya sampai selamanya. Dia melepaskan dan menyelamatkan, Dia mengadakan tanda-tanda dan pelbagai keajaiban baik di langit mahupun di bumi. Dialah yang melepaskan Daniel daripada cengkaman singa-singa itu.”