Daniel 10:10-19
Daniel 10:10-19 AVB
Tetapi ada suatu tangan menyentuh aku dan membuat aku gementar pada lutut dan telapak tanganku. Katanya kepadaku, “Hai Daniel, orang yang sangat dikasihi, perhatikanlah kata-kata yang kusampaikan kepadamu dan berdirilah tegak, kerana sekarang aku diutus kepadamu.” Setelah ia menyampaikan kata-kata itu kepadaku, berdirilah aku dengan gementar. Katanya lagi kepadaku, “Jangan takut, Daniel, kerana sejak hari pertama engkau menetapkan hati untuk mendapat pengertian dan merendahkan diri di hadapan Allahmu, permintaanmu telah didengar. Aku ini datang kerana permintaanmu itu. Penguasa kerajaan Parsi muncul menentang aku selama dua puluh satu hari. Tetapi Mikhail, salah seorang malaikat penjaga yang terutama, datang menolong aku, kerana aku tertahan di sana dengan raja-raja Parsi. Aku datang untuk menjelaskan kepadamu apa yang akan kelak terjadi kepada bangsamu, kerana penglihatan ini berkenaan hari-hari pada masa depan.” Setelah dia menyampaikan hal-hal itu kepadaku, aku menundukkan muka memandang tanah dan menjadi kelu. Tiba-tiba sesuatu yang serupa anak-anak manusia menyentuh bibirku. Aku membuka mulut dan mulai berbicara. Kataku kepada orang yang berdiri di hadapanku itu, “Ya tuanku, kerana penglihatan itu rasa perih menimpaku dan tidak ada lagi kekuatan padaku. Bagaimana hamba tuanku ini dapat berbicara dengan tuanku? Sekarang ini tidak ada lagi kekuatan padaku dan nafas pun tidak tersisa padaku!” Sekali lagi dia yang serupa manusia itu menyentuh aku dan menguatkan aku. Katanya, “Jangan takut, wahai orang yang sangat dikasihi! Sejahteralah engkau! Jadilah kuat, ya, jadilah kuat!” Ketika dia berbicara denganku, aku menjadi kuat. Lalu kataku, “Berbicaralah, tuanku, kerana tuan telah menguatkan hamba.”