Kisah Para Rasul 9:36-43
Kisah Para Rasul 9:36-43 AVB
Di Yope ada seorang murid perempuan bernama Tabita (dalam bahasa Yunani disebut Dorkas); dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah. Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas. Lida berdekatan dengan Yope. Apabila para murid Yesus mendapat tahu bahawa Petrus ada di Lida, mereka menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin. Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya. Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu, dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, “Hai Tabita, bangunlah.” Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk. Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua murid Yesus, termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu. Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Tuhan. Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.