Kisah Para Rasul 3:15-24
Kisah Para Rasul 3:15-24 AVB
lalu kamu membunuh sumber hayat itu; Allah membangkitkan-Nya daripada kematian, dan kami ini menjadi saksinya. Iman pada nama Yesus telah menguatkan orang ini, yang kamu lihat dan kenali. Ya, iman yang datang daripada-Nya telah memberi orang ini kesihatan yang sempurna di hadapan kamu sekalian. Namun demikian, saudara-saudara, aku tahu bahawa kamu berbuat demikian dalam kejahilan, begitu juga para pemimpinmu. Tetapi dengan cara demikianlah segala yang dinyatakan Allah melalui lidah nabi-nabi-Nya, bahawa Kristus akan menderita, telah ditunaikan-Nya. Oleh itu, bertaubatlah dan berpalinglah kepada Allah, supaya dosa-dosamu dihapuskan, dan supaya masa yang memberikan kesegaran datang kelak daripada Tuhan. Dan juga supaya Dia menghantar Yesus Kristus yang telah ditentukan-Nya menjadi Kristus bagimu. Kristus mesti tetap di syurga sampai masa Allah memulihkan segala-galanya, seperti yang difirmankan-Nya dahulukala melalui lidah nabi-nabi-Nya yang suci. Musa sesungguhnya telah berkata kepada nenek moyang kita, ‘Tuhan Allah akan membangkitkan untukmu seorang Nabi sepertiku daripada kalangan bangsamu. Dengarlah segala kata-Nya kepadamu dalam semua hal. Setiap jiwa yang tidak mendengar kata Nabi itu akan dibinasakan sama sekali daripada kalangan kaumnya.’ Ya, semua nabi, daripada Samuel dan selepasnya, semua yang telah bersuara, juga telah bernubuat tentang zaman ini.