Kisah Para Rasul 21:27-40
Kisah Para Rasul 21:27-40 AVB
Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam Bait Suci. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus sambil berseru, “Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan di merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan Bait Suci. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam Bait Suci, menajiskan tempat suci ini.” Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam Bait Suci. Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar Bait Suci. Semua pintu Bait Suci pun segera ditutup. Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera mendengar bahawa seisi kota Yerusalem sedang merusuh. Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus. Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah dia dan apakah yang telah dilakukannya. Di antara orang ramai itu sesetengah menjawab begini dan sesetengahnya begitu. Oleh sebab ketua pasukan tentera itu tidak dapat memastikan punca huru-hara itu, dia menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. Setelah sampai ke tangga, askar-askar mengangkat Paulus kerana orang ramai mengganas. Mereka mengikut sambil berseru-seru, “Hapuskan dia!” Ketika Paulus hendak dibawa masuk ke dalam kubu, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, “Bolehkah aku menyatakan sesuatu kepadamu?” Ketua pasukan tentera itu berkata, “Kamu tahu bahasa Yunani? Bukankah kamu ini orang Mesir yang dahulu mencetuskan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas ke gurun?” Paulus berkata, “Aku ini orang Yahudi dari kota Tarsus di Tanah Kilikia iaitu kota yang agak terkenal, dan aku meminta kamu benarkan aku bercakap kepada orang ramai itu.” Setelah mendapat kebenaran daripada ketua pasukan tentera, Paulus berdiri di atas tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya supaya mereka diam. Setelah orang ramai itu senyap, Paulus berucap dalam bahasa Ibrani