YouVersion Logo
Search Icon

Kisah Para Rasul 20:17-24, 34-35

Kisah Para Rasul 20:17-24 AVB

Dari Miletus Paulus menyuruh orang pergi ke Efesus memanggil tua-tua jemaah di situ. Apabila mereka datang menemuinya, Paulus berkata, “Kamu semua tahu cara hidupku sejak aku bersamamu, dari hari pertama aku datang ke Asia. Aku telah memperhambakan diri kepada Tuhan dengan sehabis-habis rendah hati dan dengan air mata. Sudah beberapa cubaan menimpa diriku akibat pakatan orang Yahudi. Aku tidak pernah menyembunyikan daripadamu sesuatu yang berfaedah kepadamu. Aku menyatakan segalanya kepadamu dan mengajarmu baik di khalayak ramai mahupun di rumah masing-masing, sambil memberikan kesaksian kepada orang Yahudi dan orang Yunani tentang pertaubatan kepada Allah dan iman akan Tuhan Yesus. Sekarang aku pergi ke Yerusalem mentaati perintah Roh Kudus sedangkan aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku. Yang kuketahui hanyalah ini: Dari kota ke kota Roh Kudus telah memberikan kesaksian kepadaku dan berkata bahawa penjara dan penderitaan ada lagi menantikan aku. Tetapi sekali-kali aku tidak mengendahkan soal nyawaku, asalkan aku dapat menyempurnakan tanggungjawab dan tugas yang kuterima daripada Tuhan Yesus iaitu memberikan kesaksian akan Injil tentang kasih kurnia Allah.

Kisah Para Rasul 20:34-35 AVB

Kamu tahu bahawa kedua-dua belah tanganku ini telah bekerja untuk mencukupkan sara hidupku dan orang yang bersamaku. Dalam semua perkara aku telah menunjukkan teladan kepadamu iaitu bagaimana kamu juga patut bekerja demikian untuk menolong orang yang lemah; dan ingatlah firman Tuhan Yesus, ‘Memberi itu lebih berkatnya daripada menerima.’ ”