Kisah Para Rasul 2:29-39
Kisah Para Rasul 2:29-39 AVB
Saudara-saudaraku, aku akan bercakap terus terang kepadamu tentang moyang kita Daud, bahawa dia sudah meninggal dan dimakamkan, dan makamnya ada di tanah kita sampai hari ini. Oleh sebab dia seorang nabi dan menyedari bahawa Allah telah berjanji kepadanya dengan bersumpah bahawa Dia akan mendudukkan seorang daripada benih keturunan jasadnya di atas takhtanya. Dia telah melihat terdahulu hal ini, maka dia bercakap tentang kebangkitan Kristus, bahawa roh-Nya tidak akan ditinggalkan di alam maut, dan jasad-Nya tidak akan reput. Allah telah membangkitkan Yesus ini dan kami semua menyaksikannya. Dia telah dinaikkan ke syurga ke sebelah kanan Allah, dan daripada Allah Bapa Dia telah menerima Roh Kudus yang telah dijanjikan-Nya. Lalu Dia mencurahkan Roh itu seperti yang kamu lihat dan dengar sekarang. Daud tidak naik ke syurga, tetapi dia sendiri berkata demikian, ‘Tuhan berfirman kepada Tuanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Kujadikan musuh-musuh-Mu alas kaki-Mu.’ Oleh itu, hendaklah seluruh keturunan kaum Israel tahu dengan pastinya, bahawa Allah telah menjadikan Yesus, yang kamu salib itu, Tuhan dan Kristus.” Apabila mereka mendengar ini, hati mereka pun berasa tertusuk, lalu mereka berkata kepada Petrus dan para rasul yang lain, “Saudara-saudara, apakah yang patut kami perbuat?” Petrus pun berkata kepada mereka, “Bertaubatlah, dan hendaklah setiap orang daripada kamu dibaptiskan atas nama Yesus Kristus supaya dosa-dosamu diampunkan; dan kamu akan menerima pemberian Roh Kudus; kerana janji itu telah dibuat kepada kamu dan anak-anakmu, dan kepada semua yang jauh-jauh, seberapa ramai yang akan dipanggil oleh Tuhan Allah kita.”