YouVersion Logo
Search Icon

Kisah Para Rasul 16:16-26

Kisah Para Rasul 16:16-26 AVB

Di tempat orang berdoa itu juga ada seorang hamba perempuan yang dirasuk roh penilik; dia membawa keuntungan yang besar kepada tuan-tuannya dengan tilikannya itu. Hamba perempuan itu mengikut Paulus dan kami sambil berseru-seru, “Orang ini hamba Allah Yang Maha Tinggi; mereka memberitahu kamu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!” Demikianlah dilakukannya selama beberapa hari. Akhirnya Paulus gusar dan berpaling sambil berkata kepada roh itu, “Dengan nama Yesus Kristus aku perintahkan kamu keluar daripadanya!” Roh itu pun keluar serta-merta. Apabila majikan-majikan perempuan itu menyedari bahawa harapan mereka mendapat sumber keuntungan telah dihapuskan, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret mereka ke hadapan pihak berkuasa di medan kota. Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma dan berkata, “Mereka berdua ini membuat kacau di kota kita. Mereka orang Yahudi dan mereka menyebarkan ajaran yang tidak patut kita terima atau ikut kerana kita ini orang Romawi.” Orang ramai pun bangkit menentang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai melucutkan pakaian kedua-duanya dan mengarahkan supaya mereka disebat. Setelah disebat beberapa kali, kedua-duanya dimasukkan ke dalam penjara; ketua penjara itu diberi arahan mengawal mereka dengan ketat. Oleh itu, ketua penjara memasukkan Paulus dan Silas ke bahagian penjara yang di dalam sekali serta membelenggu kaki mereka pada pasung. Namun demikian, pada waktu tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan memuji Allah. Sekalian yang terpenjara itu mendengar doa dan pujian mereka. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang besar, sehingga bergoncang asas penjara itu. Serta-merta semua pintu penjara terbuka dan belenggu semua orang yang terpenjara itu terlucut.