YouVersion Logo
Search Icon

Kisah Para Rasul 11:19-30

Kisah Para Rasul 11:19-30 AVB

Setelah Stefanus dibunuh, orang yang tercerai-berai kerana dianiaya sampai ke Fenisia, Siprus dan Antiokhia. Mereka menyampaikan firman hanya kepada orang Yahudi; tetapi sesetengah daripada mereka dari Siprus dan Kirene datang ke Antiokhia lalu mengkhabarkan berita baik tentang Tuhan Yesus kepada orang Yunani. Melalui kuasa Tuhan yang menyertai mereka, ramai orang percaya dan berpaling kepada-Nya. Jemaah di Yerusalem mendengar hal itu lalu menyuruh Barnabas pergi ke Antiokhia. Setelah dia sampai dan melihat kasih kurnia Allah itu, dia amat sukacita dan menggalakkan mereka semua supaya meneguhkan azam untuk tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati. Barnabas orang baik, penuh dengan Roh Kudus dan iman. Semakin bertambahlah bilangan orang yang percaya akan Tuhan. Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus mencari Saul; setelah menemuinya, dibawanya ke Antiokhia. Selama setahun kedua-duanya berserta dengan jemaah dan mengajar ramai orang. Di Antiokhialah para murid mula-mula disebut orang Kristian. Pada masa itu beberapa orang nabi turun dari Yerusalem ke Antiokhia. Seorang yang bernama Agabus bernubuat dengan ilham Roh Kudus bahawa bencana kebuluran akan melanda seluruh dunia; ini sesungguhnya terjadi pada zaman Klaudius. Para murid Yesus membuat keputusan hendak menghantar bantuan, menurut kemampuan masing-masing, kepada saudara-saudara di Yudea. Mereka mengirimkannya kepada tua-tua melalui Barnabas dan Saul.