1 Timotius 6:6-10, 17-19
1 Timotius 6:6-10 AVB
Kesalihan yang disertai dengan rasa puas membawa keuntungan besar. Kita tidak membawa apa-apa ke dalam dunia ini, dan pasti sekali kita tidak dapat membawa apa-apa apabila kita meninggalkannya. Oleh itu, jika kita ada pakaian dan makanan, kita harus berasa puas. Orang yang mahu kaya tergoda dan terperangkap oleh pelbagai keinginan yang sia-sia dan berbahaya, yang menjerumuskannya ke dalam kerosakan dan kemusnahan. Cinta akan wang punca segala kejahatan. Sesetengah orang memburu wang dengan begitu tamaknya sampaikan tersesat daripada iman dan akhirnya menanggung berbagai-bagai kesengsaraan jiwa.
1 Timotius 6:17-19 AVB
Perintahkan orang yang kaya pada masa ini supaya jangan angkuh, jangan berharapkan kekayaan yang sebenarnya tidak kekal, tetapi bergantunglah kepada Allah yang hidup, yang melimpahkan segala sesuatu kepada kita untuk dinikmati. Hendaklah mereka berbuat baik, supaya mereka kaya dengan amal kebajikan, sedia memberi, rela berkongsi. Dengan demikian mereka meletakkan asas yang teguh bagi diri mereka untuk hari kemudian supaya mereka dapat hidup kekal kelak.