1 Samuel 8:1-9
1 Samuel 8:1-9 AVB
Apabila Samuel sudah tua, dia melantik anak-anaknya untuk menjadi hakim kepada orang Israel. Anaknya yang sulung bernama Yo'el, dan yang kedua Abia. Mereka menjadi hakim di Bersyeba. Namun begitu, pekerti mereka bukan sahaja tidak seperti bapa mereka, malahan mereka tidak hidup mengikuti jejaknya. Mereka menyimpang demi mengejar laba dan mereka menerima rasuah serta memutarbalikkan keadilan. Kemudian semua tua-tua Israel berkumpul lalu datang menghadap Samuel di Rama. Kata mereka kepadanya, “Sesungguhnya, tuan sudah tua dan anak-anak tuan tidak hidup mengikuti jejak tuan. Sekarang, lantiklah bagi kami seorang raja untuk memerintahkan kami seperti semua bangsa lain.” Tetapi Samuel amat tidak senang apabila mereka berkata, “Berikanlah kepada kami seorang raja untuk memerintah kami,” lalu berdoalah dia kepada TUHAN. Kemudian TUHAN berfirman kepada Samuel, “Tunaikanlah segala permintaan umat itu kepadamu. Mereka bukannya menolak engkau tetapi mereka menolak Aku kerana tidak mahu Aku bertakhta atas mereka. Sebagaimana mereka memperlakukan Aku sejak Aku memimpin mereka keluar dari Mesir bahkan sampai hari ini, iaitu meninggalkan Aku dan beribadat kepada pelbagai tuhan lain, demikian jugalah mereka memperlakukan kamu. Oleh itu, tunaikanlah permintaan mereka, hanya peringatkanlah mereka dengan sungguh-sungguh dan beritahu mereka apa yang menjadi hak raja yang kelak memerintah mereka.”





