YouVersion Logo
Search Icon

1 Samuel 17:17-26, 32

1 Samuel 17:17-26 AVB

Sementara itu Isai berkata kepada Daud, anaknya, “Cepat bawakan satu efa bertih padi-padian dan sepuluh ketul roti ini untuk abang-abangmu di perkhemahan. Bawakan juga sepuluh potong keju ini untuk pemimpin pasukan seribu. Tengoklah sama ada abang-abangmu selamat, lalu bawalah pulang suatu tanda daripada mereka.” Pada waktu itu, Saul berserta ketiga-tiga abangnya dan seluruh orang Israel berada di Lembah Elah, sedang berperang melawan orang Filistin. Daud pun bangun pagi-pagi lalu mengamanahkan kawanan dombanya kepada seorang gembala. Setelah itu, diangkatnyalah muatannya lalu pergi, sebagaimana yang diperintahkan Isai kepadanya. Dia sampai di parit perlindungan pada waktu pasukan sedang keluar menuju barisan perang sambil memekikkan sorakan perang. Orang Israel dan orang Filistin mengatur barisan masing-masing, barisan perang berhadapan dengan barisan perang. Daud mengamanahkan barang-barangnya kepada penjaga barang lalu berlari ke tempat barisan perang dan bertanyakan khabar abang-abangnya. Ketika dia bercakap dengan mereka, tiba-tiba kesateria bangsa Filistin dari Gat yang bernama Goliat itu maju dari barisan tentera Filistin. Dia mengucapkan kata-kata cemuhan yang sama seperti sebelumnya dan Daud mendengarnya. Semua orang Israel lari menjauhkan diri sebaik sahaja mereka melihat orang itu. Mereka dalam ketakutan yang amat sangat. Kata orang Israel, “Adakah kamu lihat orang yang sedang mara itu? Sememangnya dia mara untuk mencemuh orang Israel. Raja akan menganugerahi orang yang dapat membunuhnya dengan kekayaan yang besar. Kepadanya akan dikurniakan puteri baginda, dan keluarganya akan dibebaskan daripada membayar cukai di Israel.” Daud pun bertanya kepada kalangan yang berdiri bersamanya, “Apakah yang akan dilakukan terhadap orang yang dapat membunuh orang Filistin ini dan yang dapat menghapus cela ini daripada Israel? Siapakah orang Filistin yang tidak bersunat itu sehingga dia mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup?”

1 Samuel 17:32 AVB

Kemudian Daud berkata kepada Saul, “Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu.”