YouVersion Logo
Search Icon

1 Samuel 16:4-12

1 Samuel 16:4-12 AVB

Samuel pun melakukan apa yang difirmankan TUHAN. Ketika dia tiba di Betlehem, tua-tua kota itu menyongsong dia dengan gementar. Tanya mereka, “Apakah tuan datang dengan damai sejahtera?” Jawabnya, “Ya, dengan damai sejahtera. Aku datang untuk mempersembahkan korban di hadapan TUHAN. Sucikanlah dirimu dan datanglah untuk bersama-samaku ke upacara korban ini.” Lalu dia mentahbiskan Isai dan anak-anaknya serta mengundang mereka ke upacara korban itu. Pada waktu mereka datang, Samuel memandang Eliab dan berfikir, “Sesungguhnya, orang yang akan dilantik TUHAN sedang berdiri di hadapan-Nya.” Tetapi firman TUHAN kepada Samuel, “Janganlah pandang rupanya atau perawakannya yang tinggi, kerana Aku telah menolak dia. Allah tidak melihat sebagaimana manusia melihat. Manusia melihat penampilan lahiriah, tetapi TUHAN melihat hati.” Kemudian Isai memanggil Abinadab dan menyuruhnya lalu di hadapan Samuel. Tetapi Samuel berkata, “Yang ini pun tidak dipilih TUHAN.” Maka Isai menyuruh Syama lalu pula. Tetapi Samuel berkata, “Yang ini pun tidak dipilih TUHAN.” Isai menyuruh ketujuh-tujuh anaknya lalu di hadapan Samuel. Tetapi kata Samuel kepada Isai, “Mereka semua tidak dipilih TUHAN.” Tanya Samuel kepada Isai, “Inikah semua anakmu?” Jawabnya, “Masih ada yang bongsu, tetapi dia sedang menggembala kawanan domba.” Kata Samuel kepada Isai, “Suruhlah orang menjemput dia, kerana kita tidak akan duduk makan sebelum dia datang.” Maka Isai menyuruh orang menjemput anak bongsunya itu. Dia kemerah-merahan, matanya cantik, dan parasnya elok. Berfirmanlah TUHAN, “Segeralah lantik dia, kerana inilah dia.”