1 Raja-Raja 19:14-21
1 Raja-Raja 19:14-21 AVB
Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.” Firman TUHAN kepadanya, “Pergilah, kembalilah ke jalanmu menuju Gurun Damsyik. Sesampainya di sana, lantiklah Hazael untuk menjadi raja atas Aram. Lantiklah juga Yehu, cucu Nimsi, menjadi raja atas Israel, dan Elisa anak Safat dari Abel-Mehola menjadi nabi untuk menggantikan engkau. Nanti, sesiapa yang terselamat daripada pedang Hazael akan dibunuh oleh Yehu, dan sesiapa yang terselamat daripada pedang Yehu akan dibunuh oleh Elisa. Namun demikian, Aku akan membiarkan terselamat tujuh ribu orang di Israel, iaitu semua orang yang tidak bertekuk lutut kepada Baal dan semua orang yang tidak menciumnya.” Maka pergilah Elia dari sana, lalu didapatinya Elisa anak Safat yang sedang membajak. Ada dua belas pasangan lembu di hadapannya, sementara dia sendiri membajak dengan pasangan lembu yang kedua belas itu. Elia berjalan melalui dia seraya melemparkan jubahnya kepadanya. Lalu Elisa meninggalkan lembu-lembu itu dan berlari menyusul Elia, katanya, “Izinkanlah hamba mencium ayah dan ibu hamba dahulu, barulah hamba akan mengikuti tuan.” Kata Elia kepadanya, “Pulanglah. Adakah aku menghalang kamu?” Lalu dia berhenti mengikuti Elia. Kemudian diambilnya dua ekor lembu dan disembelihnya. Dimasaknya daging itu dengan kayu api daripada kuk lembu itu, diberikannya kepada orang ramai, lalu makanlah mereka. Setelah itu, dia segera mengikuti Elia dan menjadi pelayannya.