1 Korintus 3:3-9
1 Korintus 3:3-9 AVB
Sebabnya kamu masih hidup secara duniawi. Kamu berdengki-dengkian dan berbalah; bukankah itu tanda kamu masih hidup secara duniawi, sama seperti manusia biasa? Apabila seorang daripadamu berkata, “Aku mengikut Paulus” dan seorang lagi berkata, “Aku mengikut Apolos”, bukankah kelakuanmu sama seperti kelakuan orang dunia ini? Siapakah Apolos? Siapakah Paulus? Kami hanyalah hamba Allah yang memimpinmu ke arah iman terhadap Kristus. Kami sekadar menjalankan tugas yang ditetapkan oleh Tuhan. Aku menyemaikan benih manakala Apolos menyiram, tetapi Allah yang membolehkan tanaman itu tumbuh. Yang menyemaikan benih dan yang menyiram tidak penting. Hanya Allah yang penting, kerana Dialah yang membolehkan tanaman itu tumbuh. Yang menyemaikan benih dan yang menyiram mempunyai kedudukan yang sama. Allah akan mengurniakan ganjaran berdasarkan kerja masing-masing. Kami sama-sama pekerja Allah, dan kamu ibarat ladang Allah. Kamu juga boleh diumpamakan sebagai bangunan Allah.